LAGI KUNJUNGAN PELAWAT KE SMKKJ

Sejak berita tentang kerosakan yang berlaku di skolah SMKKJ tersiar melalui media cetak mahupun elektronik, beberapa respon telah diperolehi. Beberapa siri lawatan VIP ke sekolah ini telah diterima. Bermula dengan lawatan YB ADUN N 51 Kunak, Encik Nilwan Kabang, kemudian YB Ahli Dewan Rakyat P188 Silam, Tuan Hj Saleh Kalbi, disusuli rombongan dari Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, seterusnya dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan terbaru dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Encik Raja Mazlan bersama Encik Ahmad Kamal.

Pelawat dari BPSH, KPM bergambar bersama kakitangan SMKKJ. Dari kiri, Encik Mohd Hafiz (Kauselor Sekolah), Cik Rashida Abd Rahim (Kauselor sekolah), Puan Gan Siew Lin (PK HEM), Encik Ahmad Kamal, Encik Raja Mazlan, Pn Norsimah (Kauselor SMK Kunak) dan Pn Jahara Pilih (Kerani Kewangan SMKKJ), berlatarkan bangunan blok sekolah yang mengalami keretakan serta anjung berdindingkan 'canvas' yang menempatkan pelajar Tingkatan 6 Atas Brilliant.

Lawatan-lawatan sebegini sememangnya diharapkan agar permasalahan yang timbul dapat disampaikan kepada yang berkenaan untuk diambil tindakan susulan. Namun apa yang berlaku tindakan yang diharapkan masih belum terlaksana. Apa sebenarnya tindakan yang diharapkan? Kalau ini yang menjadi persolannya, kami hanya inginkan penyelesaian yang jelas. Selepas berlalu hampir sebulan lamanya sejak peristiwa pertama yang membawa kepada keputusan pihak sekolah membuka kelas-kelas 'emergency' dipersekitaran sekolah, hanya apa yang dapat dilakukan oleh pihak PIBG dan sekolah ialah menyediakan dinding mudah alih di dewan dan kantin sekolah. Suasana P&P yang tidak begitu kondusif menyebabkan timbul keresahan apabila memikirkan peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM yang semakin dekat.

Kalaulah boleh, ditampilkan seorang yang dapat memutuskan samada bangunan sekolah ini selamat dan boleh digunakan atau sebaliknya. Kalau tidak selamat lagi, segerakanlah bantuan yang dapat mengatasi masalah ketiadaan kelas yang selesa ini. Dan kalau masih selamat, istiharkanlah dan kami akan naik semula ke bangunan sekolah ini.

Namun kami masih mengharapkan agar akan tiba keputusan serta tindakan dalam masa yang terdekat ini, demi masa depan calon-calon PMR, SPM dan STPM pada tahun 2009 ini.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEMBALI KE BILIK DARJAH

Puisi Buat Anak Didik

BERTEMU KEMBALI